Thursday, October 11, 2007

Perutusan Syawal 1428H

Assalamualaikum w.b.t.

Kini, kita sudah pun berada di penghujung Ramadhan 1428 H. Mari kita panjatkan rasa syukur kepada Allah s.w.t. kerana atas keizinanNya jua kita dapat melalui tarbiyyah ramadhan ini sekali lagi pada tahun ini. Syukur juga kerana dengan taufik-Nya, dapat kita kita menunaikan ibadah serta memanfaatkan masa sebaiknya di bulan ini. Mari kita doakan bersama agar kita dapat berjumpa lagi dengan ramadhan-ramadhan yang akan datang, insya Allah.

Berlalu ramadhan, kini syawal pula menjelma. Alhamdulillah, sekali lagi syukur kepada Allah s.w.t. dengan limpah kurniaNya, dapat kita semua, umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Sesungguhnya Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi umat Islam yang telah melalui ujian sebulan di bulan Ramadhan dalam rangka usaha untuk mencapai darjat taqwa dan mencari keredhaan Allah s.w.t.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua dengan harapan agar tarbiyyah yang dilalui di bulan Ramadhan ini dapat membentuk diri kita menjadi insan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Mohon maaf atas sebarang kesilapan dan kelemahan diri ini sama ada secara sedar atau tidak.

Di hari yang mulia ini, mari kita ambil peluang untuk bermaaf-maafan sesama kita, sesama ahli keluarga, sahabat handai dan seluruh masyarakat. Jauhkan rasa iri hati, dendam, dan prasangka demi kesatuan ummah. Hidupkan juga budaya ziarah menziarahi sanak saudara, para ilmuwan, sahabat handai dan kenalan-kenalan kita. Manfaatkanlah kesempatan ini untuk kita merapatkan ukhuwwah sesama kita. Moga ukhuwwah yang terjalin terus berkekalan.

Akhir sekali, dalam kegembiraan kita menyambut Aidilfitri, jangan kita lupakan kepada mereka yang kurang bernasib baik di negara kita. Agar Allah kurniakan kekuatan kepada mereka. Juga tidak dilupakan, mari kita doakan juga ketabahan untuk saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Thailand, Mindanao dan di mana-mana sahaja yang sedang diuji oleh Allah s.w.t. Moga semangat, azam dan doa kita senantiasa bersama perjuangan mereka.

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua!

Maaf zahir dan batin.

Mohamad Amirul Mohamad Letfee
Presiden
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma)

No comments: