Monday, October 23, 2006

Hari Raya

by: Inqilaab
'Eidun Sa'iedun
Yaumun Farhanun
Yaumun Jamilun

~Zain Bikha~
Setelah sebulan umat Islam berpuasa, kini tibalah hari raya. Sebulan menahan lapar dan dahaga. Sebulan sedaya upaya mengekang hawa nafsu. Sebulan bertungkus lumus melakukan ibadah yang sering ditinggalkan di bulan biasa. Selalunya masjid susah dijejaki tetapi bulan ini sebulan bertamu di rumah Allah menunaikan 20 rakaat sunat terawih. Al-Quran yang menjadi perhiasan almari dibaca hingga khatam sekali paling kurang.

Hari ini semua ceria. Dari kanak-kanak hinggalah orang tua, semua berpakaian serba baru. Juga saling bermaafan. Bagi yang tinggal berjauhan dengan keluarga, awal-awal lagi sudah merancang pulang ke kampung. Menjadi satu kemestian, persiapan menyambut hari raya dibuat seawal mungkin. Inilah hari raya 'eidul fitri di Malaysia.

Inikah hari raya sebenar? Eidulfitri lebih singkat dari eidul adha. Bagaimana mungkin eidul fitri disambut lebih meriah? Bagi orang biasa, hari raya ialah penamat kesengsaraan mereka menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Sebaliknya, bagi orang cintakan puasa, hari raya sebagai break-point kerana 1 Syawal ialah hari yang diharamkan berpuasa. Penghuni alam barzakh pula menangis kerana azab kubur diteruskan.

Festival fitrah. Sesuai dengan perayaan ini, insan saling ziarah menziarahi dan bermaafan; menyambung silaturrahim. Ini amatlah digalakkan. Namun, hati saya sedih mengenangkan iklan perayaan lebih banyak digembar-gemburkan di media tempatan. Rancangan televisyen yang telah ditetapkan pasti akan mengikat hati-hati manusia supaya tetap di hadapan televisyen. "Jangan ke mana-mana!"

Lagu-lagu hari raya yang dikumandangkan mendayu-dayu menambah luka di hati. Sepatutnya sambutan hari raya sama sahaja di mana jua, tidak semestinya balik kampung. Takbir yang didengari seharusnya mengingatkan kita kepada kebesaran Pencipta. Malah, takbir sepatutnya dilaungkan sepanjang waktu selagi belum tamat tempoh (dari Maghrib hingga Zuhur). Takbir yang bakal menggerunkan musuh. Takbir sebagai tanda kemenangan.

Berjaya mengharungi ramadhan adalah tanda kemenangan. Bulan di dalamnya ada Lailatulqadar. Bulan syaitan di rantai. Juga bulan yang direhatkan azab kubur. Waktu ini musuh kita hanya satu, nafsu. Nafsu dapat dikekang, amal dimaksimumkan, maka berbahagialah. Allah mengganjari dengan sebaik-baik ganjaran. "Kumpul mata sekarang, tuntut di akhirat kelak."

Ramadhan juga umpama intitusi pendidikan. 1 Syawal ialah hari graduasi buat pelatih-pelatih institusi Ramadhan. Graduan-graduan diharap dapat meneruskan kecemerlangan di bulan-bulan lain juga. Minal 'eidi wal fa-izin diucapkan. Selamat Hari Raya.