Tuesday, August 28, 2007

JIWA REMAJA YANG MERDEKA

Oleh: Maryam Jailani


Di saat seluruh negara sedang membilang hari menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 pada akhir bulan ini, ramai remaja yang masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja yang merdeka. Lahir pasca merdeka terutamanya, menyebabkan mereka hanya bisa mendengar kisah kemerdekaan dari generasi emas atau berusaha memahaminya dari rakaman yang masih tersimpan. Namun, apakah ini semua bisa menjadi alasan untuk tidak memperolehi jiwa merdeka? Dari sudut yang lain pula, apakah lahir sebelum merdeka dan merasai pengalaman dijajah menjadi syarat untuk memperoleh jiwa merdeka?



Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa yang merdeka lebih dari itu! Maka, mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar bisa memberikan kita kesedaran tentang betapa penting dan berharganya aset ini. Malah, kefahaman ini bisa memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan yang diberikan kepada kita.

Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan 5 asas penting;

Pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya. Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan sehariannya.

Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas di zaman Rasulullah s.a.w. Para remaja seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abi Bakar faham bahawa mereka diciptakan oleh Allah dan akan kembali semula kepadaNya. Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya bahawa hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah.

Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan dari memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya. Mereka berusaha menekuni iktibar dari kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri mereka dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila mereka menjadi remaja yang berusaha memenuhi tujuan hidup mereka.

Firman Allah: ”Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun denganKu, dan barangsiapa tetap kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” (An-Nuur: 55).

Kedua, dengan berbekalkan kefahaman terhadap jati diri yang sebenar, jiwa remaja yang merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami bahawa dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya.

Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dariNya. Malah, kalimah tauhid itu mendarah daging dan mengakar sehingga seluruh dirinya adalah cerminan kepada kecemerlangan sebuah kebenaran. Firman Allah: ”Itulah celupan Allah. Siapakah yang lebih baik celupannya dibandingkan dengan Allah?” (Al-Baqarah: 138).

Lalu, walaupun setelah 50 tahun Malaysia merdeka, remaja yang menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluq menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan yang sebenar!

Ketiga, jiwa yang merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluqNya. Firman Allah: ”Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh....” (An-Nisa’: 78).

Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya. Malah, setiap kelakuannya selalu terasa diawasi. Dirinya sentiasa merasa berTuhan!—satu-satunya Tuhan yang menciptakan dirinya, yang berkuasa mematikannya bila-bila masa, serta akan membangkitkannya untuk dinilai amalan yang telah dibuat di dunia yang sebentar ini.

Keempat, kesan daripada tiga ciri di atas, lahirlah remaja merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan dizinkan untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna. Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti.

Kelak, apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka bisa tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah: ”wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Masuklah ke dalam barisan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Al-Fajr: 27-30).

Mereka puas kerana telah memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya. Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya.

Lalu, mereka tidak terperangkap dalam kerugian yang menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal. Mereka tidak akan membiarkan hati mereka kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan merasa tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi merasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan ummah.

Kelima, jiwa remaja yang merdeka aadalah jiwa yang sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah telah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada yang rugi. Remaja yang berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya. Firman Allah: ”Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali kamu termasuk dalam orang yang ragu” (Al-Baqarah: 147).

Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah! Ia juga bukan seperti berkebun atau memancing yang bisa dibuat hanya bila ada waktu lapang. Ia kerja jiwa merdeka seluruh hidupnya!

Akhir sekali, apa pentingnya merdeka pada jiwa, dan bukan hanya pada fizikal? Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin?
Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin telah mati.

Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk memperngaruhinya, tetapi jiwa yang mati mudah sekali terjebak dengan apa jua anasir buruk yang datang kepadanya. Jadilah remaja yang berjiwa merdeka kerana jiwa merdeka itu adalah kekuatan untuk mempertahankan kemerdekaan fizikal yang telah dicapai.
Malah, jiwa merdeka juga sentiasa hidup dan menjadi rahmat di mana jua ia berada.

No comments: